KOTA KINABALU, 23 Januari 2025 – PETRONAS, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), telah mencapai satu pencapaian penting dalam pembangunan strategik Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) dengan pemindahan rasmi pengendalian kepada ConocoPhillips Sabah Gas Ltd., sebuah anak syarikat kepada syarikat minyak dan gas global, ConocoPhillips.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, PETRONAS memaklumkan pemindahan ini berkuat kuasa pada 21 Januari 2025, menjadikan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd. sebagai pengendali tunggal bagi KBBC PSC. Sebelum ini, KBBC PSC dikendalikan oleh Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn. Bhd. (KPOC), sebuah syarikat pengendalian bersama atau Joint Operating Company yang terdiri daripada PETRONAS Carigali Sdn. Bhd., Shell Energy Asia Limited, dan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd.
Majlis pemindahan pengendalian ini disaksikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong.
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji berkata, “Sabah sedang berkembang pesat sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan minyak dan gas, terima kasih kepada pembangunan strategik dan kerjasama yang dipelopori oleh PETRONAS dan rakan-rakan industrinya. Inisiatif-inisiatif ini menekankan potensi besar sumber yang ada di Sabah dan mengukuhkan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.”
Beliau menambah, “Kami berharap lebih banyak kerjasama bersama PETRONAS di masa akan datang demi kepentingan negeri Sabah.”
Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, “Pihak kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan mereka dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pelaburan industri minyak dan gas. Kerjasama ini membuktikan komitmen bersama dalam mengembangkan perniagaan dan menambahbaik keselamatan tenaga. Kami turut mengalu-alukan peluasan peranan ConocoPhilips dalam sektor huluan di Malaysia sekaligus membuktikan keyakinan dalam potensi tenaga negara”.
Dengan kapasiti eksport sehingga 750 MMscfd, penerusan KBBC PSC sehingga 2050 telah distruktur bagi memastikan pembangunan medan di masa hadapan akan terus menarik dari sudut ekonomi untuk menyokong keperluan tenaga Sabah”.
Sumber: PETRONAS