Kuala Lumpur, 23 Mei 2025 – Velesto Energy Berhad (‘Velesto’ atau ‘Kumpulan’) hari ini mengumumkan bahawa syarikat telah memperoleh satu kontrak penggerudian baharu daripada PC Ketapang II Ltd, PC North Madura II Ltd, dan PETRONAS North Ketapang Sdn. Bhd. (dirujuk secara kolektif sebagai “Klien”) bagi Jack Up rig miliknya, NAGA 8, di Indonesia.
Kontrak ini dijadualkan bermula pada Julai 2025, melibatkan tempoh tetap selama empat (4) tahun, merangkumi 12 telaga utama dan tiga (3) telaga pilihan. Ia dijangka akan menyokong penggunaan rig Jack Up serta meningkatkan jangkaan perolehan kepada Velesto dari tahun 2025 hingga 2028.
Satu Tempoh Penggantungan, bermula Februari hingga Julai 2026, dijadualkan di mana Velesto mempunyai hak untuk memasarkan NAGA 8 bagi peluang kontrak lain. Operasi dijangka disambung semula pada Julai 2026, dan sebarang perubahan kepada jadual penggantungan akan dimaklumkan oleh pihak Klien.
Megat Zariman Abdul Rahim, Presiden Velesto, berkata “Penganugerahan kontrak ini mencerminkan usaha berterusan kami untuk mengembangkan kehadiran Velesto di rantau Asia Tenggara. Sebagai kontrak kedua yang berjaya diperoleh di rantau ini, ia mengukuhkan komitmen kami terhadap pertumbuhan strategik ini. Kami berterima kasih kepada pihak Klien atas kepercayaan yang diberikan serta peluang untuk menyumbang secara bermakna dalam kerjasama ini. Fokus kami kekal kepada membina portfolio kontrak yang kukuh, bagi memperkukuh prospek syarikat dan mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan.”
Kontrak ini mengukuhkan kedudukan Velesto sebagai salah satu pemain utama dalam industri minyak dan gas di Asia Tenggara, sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk menjadi untuk meluaskan kehadiran di rantau ini di samping mengekalkan standard operasi yang tinggi.
NAGA 8 adalah jack up rig premium milik Velesto yang mempunyai keupayaan menggali sehingga kedalaman 30,000 kaki dan mampu beroperasi di kedalaman air sehingga 400 kaki.