KUALA LUMPUR (13 Jun) – DIALOG Group Bhd mengumumkan telah menandatangan kontrak perkongsian pengeluaran aset (Production Sharing Contract, PSC) bagi Kluster Mutiara Small Field yang terletak di pesisir pantai Sabah daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Dialog Resources Sdn Bhd, anak syarikat DIALOG Group Bhd dilantik sebagai pengendali tunggal dengan 100% kepentingan penyertaan dalam Kluster Mutiara, yang terletak di dalam kawasan Sub-Block di Lembangan Sandakan dan merangkumi lima medan iaitu: Nymphe, Nymphe North, Kuda Terbang, Benrinnes dan Mutiara Hitam.
Kluster Mutiara merupakan PSC pertama yang dianugerahkan oleh Petronas melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) di bawah Malaysia Bid Round 2025 (MBR 2025), dan dijangka akan mencapai pengeluaran pertama pada tahun 2029. Kontrak ini telah dimeterai pada hari Jumaat (13 Jun).
Kontrak selama 14 tahun ini merangkumi fasa pra-pembangunan selama dua tahun yang membolehkan anak syarikatnya memuktamadkan pelan pembangunan medan, sebelum memasuki fasa pembangunan selama dua tahun berikutnya, dengan pengeluaran komersial pertama dijangka menjelang akhir fasa pembangunan tersebut.
Fasa pengeluaran akan diteruskan untuk tempoh 10 tahun berikutnya atau sehingga tamat tempoh kontrak, yang mana lebih awal.
Menurut kenyatan yang dikeluarkan PETRONAS, PSC aset medan kecil ini diharapkan dapat menjadi pemangkin untuk membuka Lembangan Sandakan kepada penerokaan lanjut, serta meningkatkan penglibatan syarikat tempatan sejajar dengan aspirasi Petronas untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan huluan yang menarik.
PSC SFA Kluster Mutiara melibatkan komitmen kerja minimum ketika fasa pra-pembangunan yang akan menentukan pelan pembangunan lapangan dan peninggalan atau Field Development & Abandonment Plan (PDAP) dan kajian lanjut mengenai kebolehlaksanaan dan nilai komersial lapangan akan dihantar ke PETRONAS untuk kelulusan.
DIALOG akan mengumumkan perkembangan lanjut selepas mencapai keputusan pelaburan akhir (Final Investment Decision, FID) dan mendapat kelulusan daripada Petronas.
Dalam satu kenyataan, DIALOG berkata “Penyertaan dalam PSC SFA Kluster Mutiara ini melengkapi strategi DIALOG untuk terus berkembang dan mempelbagaikan penglibatan dalam sektor tenaga, sekali gus meningkatkan peluang sinergi dalam Kumpulan Dialog, termasuk dalam penyediaan perkhidmatan sepanjang rantaian nilai kitaran pembangunan medan.
Ia dijangka mewujudkan platform kukuh bagi menjana pendapatan mampan jangka panjang melalui pengeluaran minyak dan gas, sekali gus memperkukuh kedudukan Dialog sebagai penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu terkemuka,” kata Dialog.
Ini bukanlah penyertaan kali pertama DIALOG sebagai Operator lapangan minyak dan gas, di mana sebelum DIALOG telah menandatangani beberapa Kontrak Perkongsian Pengeluaran seperti PSC Kluster Baram Junior SFA dan Kluster Raja SFA di Semenanjung .