TotalEnergies Kembangkan Portfolio di Malaysia dan Indonesia melalui Kerjasama dengan PETRONAS

0
140

KUALA LUMPUR (16 Jun) – TotalEnergies mengumumkan telah melakukan pemerolehan kepentingan dalam beberapa blok luar pesisir daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Malaysia dan Indonesia.

Petronas dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dan dua perjanjian farm-out untuk memperluas kerjasama dalam sektor huluan minyak dan gas.

Dalam kenyataan berasingan, TotalEnergies menjelaskan bahawa perjanjian tersebut membolehkan syarikat pengeluar minyak dan gas dari Perancis itu memperoleh 50% kepentingan beroperasi dalam dua blok luar pesisir Sarawak — SK301b dan SK313 — yang mengandungi penemuan gas yang besar, melebihi empat trilion kaki padu (4 Tcf). Blok-blok dijangka akan dibangunkan untuk menyokong bekalan gas ke LNG Malaysia pada 2030.

Manakala, 50% kepentingan selebihnya akan dipegang oleh Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petronas.

Selain daripada blok SK301b dan SK313, TotalEnergies juga bakal mempunyai pegangan kepentingan, bersama-sama PETRONAS, dalam beberapa lagi blok penerokaan di luar pesisir Malaysia, tertakluk kepada syarat dan kelulusan.

Menurut TotalEnergies, perolehan kepentingan tersebut berada pada pelbagai peringkat pembangunan dan meliputi kawasan melebihi 100,000km².

Susulan pengambilalihan baki 50% kepentingan dalam SapuraOMV oleh TotalEnergies pada Disember 2024, transaksi terbaru ini mengukuhkan kedudukan kumpulan tersebut di Asia Tenggara dengan Malaysia sebagai titik tumpu utama, dalam kerjasama strategik bersama Petronas.

SapuraOMV memiliki 40% kepentingan dalam blok SK408 dan 30% dalam SK310, yang kedua-duanya merupakan blok pengeluaran gas di luar pesisir Sarawak.

Berkaitan blok luar pesisir di Indonesia, TotalEnergies menyatakan bahawa mereka telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh 24.5% kepentingan dalam blok Bobara daripada Petronas, bagi menjalankan kerja-kerja penerokaan sumber minyak. Apabila selesai, TotalEnergies akan memegang 24.5% kepentingan dengan baki kepentingan dan hak pengendali akan kekal dipegang PETRONAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here