Hibiscus Petroleum Peroleh Lanjutan Kontrak Perkongsian Pengeluaran PM3 CAA

0
134

Hibiscus Petroleum Berhad mengumumkan bahawa anak syarikat tidak langsungnya, Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited (“HML”) dan Hibiscus Oil & Gas Malaysia (PM3) Limited (“HML PM3”), telah menandatangani Perjanjian Prinsip Utama dengan Petroliam Nasional Berhad (“PETRONAS”) melalui Malaysia Petroleum Management (“MPM”), dan Vietnam Oil and Gas Group (“PETROVIETNAM”).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 9 April 2025, Kumpulan syarikat memaklumkan perjanjian tersebut adalah bagi meneruskan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kawasan Pengaturan Komersial PM3 (“PM3 CAA PSC”) dan Perjanjian Jualan Gas Huluan (“UGSA”) untuk tempoh 20 tahun bermula 1 Januari 2028 (dengan tarikh tamat pada 31 Disember 2047), di bawah terma PSC dan UGSA yang ditambah baik.

HML akan terus menjadi Operator bagi PM3 CAA PSC sepanjang tempoh lanjutan dengan pegangan ekuiti yang sama sebanyak 35 peratus yang dikongsi bersama HML PM3, manakala PetroVietnam Exploration Production Corporation Limited (“PVEP”) akan memegang 30 peratus ekuiti, dan baki 35 peratus akan dipegang oleh PETRONAS Carigali Sdn. Bhd.

Penerusan kontrak ini akan mengekalkan pengeluaran dari lapangan sedia ada serta membolehkan pembangunan lapangan yang telah ditemui dan penerokaan lebih lanjut dalam Kawasan Pengaturan Komersial luar pesisir Malaysia-Vietnam. Ini memberi peluang kepada Syarikat untuk mengoptimumkan nilai aset yang berbaki sepenuhnya serta menambah rizab dan sumber tambahan ke dalam portfolio asetnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here