PETRONAS Anugerahkan PSC Kluster Temaris kepada Seascape Energy Asia

0
171

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – PETRONAS, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), telah menganugerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (SFA PSC) bagi Aset Medan Kecil Kluster Temaris kepada Seascape Energy Asia (One) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Seascape Energy Asia plc (Seascape).

Terletak di Lembangan Melayu (Malay Basin) di luar pesisir Semenanjung Malaysia, Kluster Temaris merangkumi dua medan gas iaitu Tembakau dan Mengkuang. Ini merupakan PSC SFA kedua yang dianugerahkan daripada tiga kluster Discovered Resource Opportunities (DRO) yang ditawarkan di bawah Malaysia Bid Round 2025, yang dilancarkan awal tahun ini.

Kluster Temaris terletak di kedudukan strategik, berhampiran dengan infrastruktur pengeluaran sedia ada, sekali gus memberikannya kelebihan dari segi sinergi pembangunan, kecekapan kos, dan pengewangan sumber dengan lebih pantas.

Datuk Ir. Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan MPM berkata “PETRONAS sedang giat membangunkan sumber hidrokarbon di Semenanjung Malaysia. Dengan anggaran pengeluaran sekitar 100 juta kaki padu standard gas sehari (MMscfd) dan sasaran pengeluaran pertama menjelang 2029, PSC SFA Kluster Temaris ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk menyokong keselamatan tenaga negara sambil memacu pertumbuhan mampan dalam industri.”

Sebagai pihak tunggal dalam PSC ini, Seascape akan memulakan operasi sulungnya di Malaysia sebagai Operator, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan tenaga utama di rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada langkah strategik untuk memperluas pembangunan sumber hidrokarbon di Semenanjung Malaysia, PETRONAS turut menandatangani Perjanjian Penilaian Teknikal (Technical Evaluation Agreement, TEA) dengan AFED TEXCAL Energy Ventures (AFED TEXCAL) untuk Lembangan Langkasuka di Selat Melaka, dan POSCO International (POSCO) untuk Lembangan Layang-Layang di luar pesisir Sabah.

Kerjasama ini menzahirkan komitmen berterusan PETRONAS dalam mengaktifkan lembangan sempadan serta memajukan usaha penerokaan di kawasan yang mempunyai potensi tinggi ini.

PETRONAS kekal komited dalam memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum serta mampan bagi menjamin keselamatan tenaga negara, dengan MPM memainkan peranan penting dalam menguruskan sumber petroleum negara dan menjadi penyelaras utama bagi aktiviti petroleum huluan di Malaysia.

Seascape Energy Asia adalah sebuah syarikat Exploration & Production (E&P) yang menumpukan aktivitinya di rantau Asia Tenggara, khususnya di Malaysia. Ditubuhkan sebagai Longboat Energy plc dan dinamakan semula pada September 2024, Seascape kini melangkah ke pasaran Malaysia dengan pemerolehan aset hidrokarbon strategik seperti Blok 2A dan Kluster DEWA di luar pesisir Sarawak yang mempunyai potensi gas besar .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here