Kuala Lumpur (20 MEI): Velesto Energy Berhad umumkan telah menerima kontrak penggerudian atau ‘Drilling’ dari Phu Quoc Petroleum Operating Company di Vietnam.
Menurut satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan syarikat memaklumkan NAGA 4 akan menjalankan aktiviti penggerudian untuk lebih 40 telaga dan dijangka bermula separuh pertama 2026.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim, berkata “Kami amat berterima kasih kepada Phu Quoc Petroleum Operating Company (‘PQPOC’) atas penganugerahan kontrak ini. Kontrak ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kemampuan operasi kami dan mengukuhkan lagi kebolehan kami untuk menyediakan perkhidmatan penggerudian yang selamat, cekap dan berkualiti tinggi.
Ini turut menyokong fokus kami untuk mendapatkan projek yang bernilai tambah sekaligus meningkatkan jangkaan perolehan dan mengoptimakan penggunaan aset. Kami berbesar menjadi rakan kerjasama PQPOC dalam projek yang penting ini dan berharap dapat menyumbang kepada kejayaan projek tersebut.
Kontrak jangka panjang ini menandakan langkah strategik kumpulan untuk mengembangkan operasi ke pasaran Asia Tenggara, khususnya Vietnam. Dengan kejayaan baharu ini, Velesto terus mempamerkan daya saing dan mengukuhkan kedudukannya dalam industri penggerudian serantau.
NAGA 4 adalah jack up rig premium milik Velesto yang mempunyai keupayaan menggali sehingga kedalaman 30,000 kaki dan mampu beroperasi di kedalaman air sehingga 400 kaki.


















