PETRONAS umum penemuan minyak pertama di lapangan Sépia Brazil

0
1075

Petronas Petróleo Brasil Ltda (PPBL), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), mengumumkan penemuan minyak pertamanya dalam telaga 4-BRSA-1386D-RJS di lapangan minyak pra-garam Sépia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, PETRONAS berkata telaga itu terletak di Lembangan Santos yang prolifik, kira-kira 250 kilometer (km) dari pantai Rio de Jenerio, pada kedalaman kira-kira 2,000 meter.

Penemuan penting ini dibuat dalam Kawasan Sertaan Bersama Sépia, meliputi kontrak Pemindahan Hak Sépia (ToR) (Petrobras, 100 peratus) dan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan ToR Sépia yang dianugerahkan kepada Petrobras (30 peratus), TotalEnergies (28 peratus), QatarEnergy (21 peratus) dan PBBL (21 peratus) dengan Pré-Sal Petróleo S.A. (PPSA) sebagai pengurus.

PPBL dan rakan kongsi konsortiumnya memenangi Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan ToR Sépia semasa Pusingan Pembidaan Lebihan Pemindahan Hak Kedua Brazil yang diadakan di Rio de Jeneiro pada 2021.

Menurut Naib Presiden Penerokaan Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman, PETRONAS amat teruja dengan penemuan penting ini di salah satu lembangan paling prolifik di dunia.

“Petronas dan rakan kongsi akan terus bekerjasama rapat, bersama-sama dengan kerajaan tuan rumah, untuk membuka lebih banyak ruang dalam mencipta nilai dan kejayaan bersama.”

“Petronas juga akan meneruskan usaha nyahkarbon dalam membangunkan dan memperoleh pulangan dari lapangan Sépia secara mampan, sambil mengukuhkan portfolio kami di negara ini. Ini selaras dengan strategi pertumbuhan global kami,” katanya.

PPBL mempunyai kepentingan dalam lapangan laut dalam Tartaruga Verde (BM-C-36 Concession) dan Module III of the Espadarte (Espadarte Concession) yang terletak di Campos Basin, luar pesisir Brazil di samping juga mempunyai kepentingan dalam tiga lagi blok penerokaan laut dalam di Campos Basin (C-M-661, C-M-715 and C-M-541).

Sumber: PETRONAS