PETALING JAYA: Alam Maritim Resources Bhd telah menerima kontrak daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd bagi penyediaan kerja-kerja pembaikan free-span bagi saluran paip TNAG full well stream bersaiz 12 inci (60km), bernilai RM29 juta.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat penyedia perkhidmatan sokongan pengangkutan luar pesisir itu berkata kontrak tersebut dijangka bermula sebaik sahaja surat anugerah diterima dan akan disiapkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh mula kerja.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset ketara bersih Kumpulan Alam bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
“Kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham Alam.” kata kumpulan.
Syarikat itu berkata risiko yang berkaitan dengan kontrak tersebut merupakan risiko operasi biasa yang boleh dikurangkan melalui sistem pengurusan projek dan kawalan perniagaan dalaman kumpulan.



















