Kuala Lumpur, 16 Disember 2025 – Velesto Energy Berhad (“Velesto” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan telah memeterai perjanjian jual beli dengan PT Indonesia Drilling Energy bagi penjualan pelantar penggerudian jenis jack-up miliknya, NAGA 3, dengan nilaian USD63.0 juta (bersamaan RM258.4 juta).
Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, Kumpulan berkata pelupusan NAGA 3 yang dibina pada tahun 2010 itu adalah selaras dengan usaha pengoptimuman armada berterusan Kumpulan, dengan memberi tumpuan kepada pelantar yang lebih berdaya saing dari segi teknikal, sejajar dengan kedudukan Velesto sebagai pengendali pelantar premium. Pelupusan ini dijangka menghasilkan anggaran keuntungan kira-kira RM1.4 juta.

Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim, berkata, “Pelupusan ini memperkukuhkan tumpuan kami terhadap pelantar premium yang menjadi kelebihan daya saing Velesto. Peralihan ke arah model aset yang lebih sedikit meningkatkan kecekapan operasi kami, mengukuhkan kunci kira-kira serta memastikan modal digunakan di tempat yang mampu memberikan nilai tertinggi. Hasil daripada pelupusan ini akan mengukuhkan perniagaan penggerudian teras kami dan menyokong pulangan kepada para pemegang saham.”
Pelupusan yang dicadangkan ini dijangka diselesaikan menjelang akhir separuh pertama tahun 2026, sekali gus membolehkan Velesto meningkatkan kecekapan dalam pengurusan armadanya melalui gabungan struktur pemilikan dan pajakan yang lebih luas, sambil mengutamakan pelantar yang memenuhi keperluan pasaran semasa.
Susulan pemerolehan oleh PT Indonesia Drilling Energy, NAGA 3 dijadualkan untuk beroperasi di perairan Malaysia melalui anak syarikat TEXCAL Energy, AFED TEXCAL Energy Ventures Sdn Bhd, bagi menyokong operasi penerokaan dan pengeluaran. Langkah ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap aset penggerudian yang boleh dipercayai di Malaysia serta sektor tenaga serantau.


















