PETRONAS Carigali Catat Pengeluaran Pertama dari Medan Bindu, Offshore Terengganu

0
617

Kuala Lumpur, 26 Ogos 2025 – PETRONAS Carigali Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh PETRONAS) telah mencatat pengeluaran hidrokarbon pertama dari medan Bindu, yang terletak kira-kira 210 kilometer di luar pesisir Terengganu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PETRONAS, pencapaian ini direkodkan pada 9 Jun 2025, selepas PETRONAS Carigali mengambil alih peranan baru sebagai pengendali Gas Production Sharing Contract (GPSC) mulai 1 April 2025. Inisiatif ini menunjukkan komitmen syarikat dalam memastikan bekalan gas yang selamat dan mampan untuk Semenanjung Malaysia.

Pembangunan medan Bindu melibatkan pemasangan pelantar baru yang disambungkan ke hab pengeluaran Guntong E melalui saluran paip sepanjang 62 kilometer. Kedua-dua bahagian ‘topside’ dan ‘substructure’ telah dibuat di dalam negara. Ianya direka untuk beroperasi tanpa memerlukan kehadiran pekerja secara fizikal (unmanned), dan dikuasakan oleh sistem tenaga solar. Ia merupakan projek pembangunan lapangan hijau terakhir di bawah terma GPSC semasa, dan medan ini dijangka mencapai pengeluaran puncak sebanyak 75 juta kaki padu gas sehari (Mmscfd) dari dua telaga.

Advertisement

PETRONAS Carigali mempunyai 50% kepentingan penyertaan dalam GPSC, manakala rakan usaha sama, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc., memegang baki 50%.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali, Hazli Sham Kassim, berkata, pengeluaran hidrokarbon pertama ini mencerminkan kesediaan operasi PETRONAS Carigali sebagai pengendali GPSC. Ia mencerminkan kepakaran teknikal kami, mempercepatkan pengewangan gas domestik, dan yang paling penting, memaksimumkan hasil sumber Malaysia untuk negara.

Operasi GPSC kini membekalkan hampir separuh daripada permintaan gas Semenanjung Malaysia, yang membekalkan jana kuasa berskala industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui infrastruktur sedia ada,” tambah beliau.

PETRONAS Carigali terus kukuh dalam sektor huluan Malaysia, menerajui operasi yang berdaya saing secara komersial melalui pelaburan strategik serta mengekalkan tahap keselamatan, kecekapan, dan kelestarian yang tinggi dalam semua asetnya.

Sumber: PETRONAS

Previous articlePanduan Kerjaya Offshore: Jalan Pintas Fahami Dunia Minyak & Gas