Uzma Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Uzma Engineering Sdn Bhd (UESB), telah menerima Surat Arahan Kerja atau ‘Work Order’ di bawah Kontrak Umbrella Pan Malaysia bagi perkhidmatan ‘Marine Streamer’ dan ‘Ocean Bottom Seismic (OBS)’ bagi Pemerolehan Data Seismik 2D & 3D/4D untuk ‘Petroleum Arrangement Contractors (PACs)’.
Surat Arahan Kerja bertarikh 13 Mac 2025 itu diterima daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi penyediaan kontrak pajakan jangka panjang kapal seismik untuk perkhidmatan pemerolehan data seismik marin 2D dan 3D untuk PCSB.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia, kumpulan syarikat berkata skop kerja bagi Arahan Kerja tersebut melibatkan penyediaan, perancangan dan pelaksanaan semua perkhidmatan berkaitan bagi pajakan jangka panjang kapal seismik untuk pemerolehan data seismik laut 2D & 3D mengikut keperluan PCSB dan menyediakan kapal, peralatan mengikut standard industri, tenaga kerja berpengalaman dan semua keperluan lain untuk menyempurnakan kerja tersebut.
Antara skop kerja lain adalah untuk menyediakan teknologi nilai tambah seperti sumber frekuensi rendah, marine vibroseis, dan permintaan lain oleh PCSB untuk meningkatkan mutu pengimejan seismik dan/atau kecekapan operasi.
Arahan Kerja yang diterima itu adalah untuk tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 14 Mac 2025 hingga 13 Mac 2027.
Komitmen kerja dalam perkhidmatan Seismik 2D dan 3D ini melibatkan anggaran kawasan seluas 12,000 persegi/km untuk Semenanjung Malaysia manakala bagi kawasan Sabah meliputi anggaran kawasan seluas 4,000 persegi/km.


















