27 November 2023 – Velesto Energy Berhad (“VEB”) mengumumkan Velesto Drilling Sdn Bhd (“VED”), sebuah syarikat milik penuh Velesto Malaysia Ventures Sdn Bhd, yang juga anak syarikat VEB telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama CarigaliHess Operating Company Sdn Bhd (“CarigaliHess”) bagi tempoh 1 tahun 6 bulan berkuatkuasa 19 April 2024 sehingga 18 Oktober 2025, tertakluk kepada lanjutan seterusnya sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Lanjutan kontrak ini adalah bagi kontrak asal yang diberikan oleh CarigaliHess kepada Velesto Energy seperti diumumkan pada November 2019, dimana drilling rig “jack-up” Naga 8 dipilih bagi melaksanakan kerja-kerja penggerudian bagi pihak Velesto. Kontrak asal memperuntukkan tempoh utama kontrak selama tiga (3) tahun dengan pilihan lanjutan kontrak selama enam (6) bulan sebanyak tiga (3) kali.
Bagi tujuan lanjutan kontrak ini, Velesto Energy akan terus menggunakan Naga 8 bagi menyediakan perkhidmatan untuk CarigaliHess. Nilai lanjutan kontrak dianggarkan sekitar USD 74 juta atau bersamaan kira-kira RM 346 juta.
NAGA 8 adalah jack up rig premium milik Velesto yang mempunyai keupayaan menggali sehingga kedalaman 30,000 kaki dan mampu beroperasi di kedalaman air sehingga 400 kaki.
Velesto Energy Berhad merupakan penyedia perkhidmatan minyak dan gas tempatan dengan segmen utamanya menyediakan pelantar penggerudian ‘Jack-up’ dan juga Hydraulic Workover (HWU). Kumpulan syarikat mengendalikan sebanyak enam (6) unit Jack Up iaitu NAGA 2, NAGA 3, NAGA 4, NAGA 5, NAGA 6, dan NAGA 8.
Carigali Hess merupakan syarikat usahasama minyak dan gas antara PC JDA Limited, Hess Company of Thailand Ltd. Co. dan Hess Oil Company of Thailand (JDA) Ltd. Syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur ini terlibat dalam aktiviti mengeluarkan gas dari Block A-18 yang juga merupakan Kawasan Pembangunan Bersama (Joint Development Area) yang dikawal selia oleh Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA)