Harga minyak mentah dunia pada ketika artikel ini ditulis telah mencecah AS$70 setong untuk Brent manakala WTI sekitar AS$67 se tong. Setiap kali kita berbicara mengenai harga minyak mentah global, kita akan sentiasa merujuk kepada dua penanda aras minyak mentah dunia iaitu Brent Crude dan West Texas Intermediate (WTI) Crude.
Tetaapi kenapa terdapat dua penanda aras atau ‘benchmark’ untuk harga minyak dan apa perbezaan antara kedua ini? Penulis akan cuba huraikan dalam artikel di bawah. Jom baca
West Texas Intermediate (WTI) dan Brent adalah penanda aras harga minyak mentah global yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Jika kita lihat, rata-rata carta atau analisis akan dibuat berdasarkan kepada dua ‘benchmark’ ini.
Terdapat pelbagai gred minyak mentah dihasilkan di seantero dunia dengan kebanyakannya bergantung kepada lokasi minyak itu dihasilkan. Brent merujuk kepada minyak yang dihasilkan daripada lapangan Brent di North Sea dan lapangan di sekitar North Sea manakala WTI pula merujuk kepada minyak yang dihasilkan di Amerika Utara.
WTI adalah penanda aras bagi minyak mentah di Amerika Syarikat dan Brent Crude pula banyak digunakan sebagai penanda aras untuk minyak mentah yang didagangkan di negara-negara Afrika, Eropah dan Timur Tengah. Pada masa sekarang, harga Brent didagangkan lebih tinggi atau premium berbanding dengan WTI dengan perbezaan sekitar AS$3- 4 se tong.
Brent dan WTI Crude mempunyai kandungan dan komposisi minyak yang berbeza dari segi kandungan Sulfur dan API Gravity. kedua-dua gred minyak ini mempunyai kandungan sulfur yang rendah iaitu kurang daripada 1% meletakkan kedua-duanya dalam kumpulan gred minyak yang ‘sweet’. Namun, jika dibandingkan antara keduanya, WTI mempunyai kandungan sulfur lebih rendah berbanding Brent, menjadikan WTI dikategorikan lebih ‘sweet’.
Selain itu, Brent dan WTI Crude juga didagangkan di pasaran yang berbeza. Kontrak hadapan WTI didagangkan di New York Mercantile Exchange (NYMEX), manakala kontrak hadapan Brent pula didagangkan di Intercontinental Exchange (ICE) di London.
Meskipun, Brent dan WTI mempunyai perbezaan, tetapi apa yang akan dapat lihat adalah persamaan dalam trend kenaikan dan penurunan bagi kedua-dua gred minyak ini.
Tahukah anda, Malaysia juga menghasilkan beberapa jenis crude oil blend yang terdiri daripada ‘medium’ hinggalah ke ‘light’ blend, yang antaranya adalah Tapis blend. Tapis blend adalah minyak yang dikeluarkan dari medan Tapis yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia, dan merupakan antara gred minyak mentah yang terbaik dan premium berbanding gred-gred lain di pasaran kerana ia dianggap sebagai ‘blend’ yang berkualiti tinggi.
Sumber: Investopedia, DailyFx