Kuala Lumpur (28 Julai): PETRONAS telah menganugerahkan blok luar pesisir Sarawak kepada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), Sarawak Shell Berhad (SSB), dan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd (PSEP), sebuah anak syarikat milik penuh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Blok SK437 terletak di barat daya Central Luconia, dengan luas sekitar 2,015 kilometer persegi pada kedalaman air sehingga 50 meter. Penganugerahan blok ini dijangka akan merangsang aktiviti penerokaan di dalam negara terutamanya di luar pesisir Sarawak.
Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi SK437 ini telah ditandatangi harini secara maya. PETRONAS, PCSB, SSB dan PSEP masing-masing diwakili oleh Naib Presiden Senior PETRONAS MPM Mohamed Firouz Asnan, Naib Presiden PETRONAS Penerokaan Huluan, Emeliana Rice-Oxley, Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Shell Malaysia Huluan, Ivan Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Datuk Sauu Kakok.
SSB adalah pengendali bagi Blok PSC SK437 dengan pegangan sebanyak 85 peratus manakala PCSB dan PSEP masing-masing dengan pegangan 7.5 peratus. Kedua-dua pegangan PCSB dan PSEP adalah termasuk bagi fasa penerokaan. SK437 adalah penambahan terbaharu pegangan Shell dalam 15 PSC di Malaysia, dengan lapan (8) daripadanya di luar pesisir Sarawak manakala baki tujuh (7) lagi di luar pesisir Sabah.
Sumber: Petronas