Jakarta, 24 Februari 2021 – PETRONAS melalui anak syarikatnya, PC North Madura II mengumumkan menemui minyak di telaga eksplorasi Hidayah-1 yang terletak dalam kontrak perkongsian pengeluaran atau Production Sharing Contract (PSC) North Madura II, offshore Jawa Timur, Indonesia.
PC North Madura II adalah pengendali dengan 100 peratus kepentingan penyertaan dalam PSC North Madura II.
Penggerudian telaga explorasi Hidayah-1 bermula pada 7 Januari 2021 dan digerudi dengan selamat ke kedalaman 2,739 meter. Telaga berkenaan menemui minyak di dalam lapisan karbonat dengan kualiti takungan yang baik berada di dalam lapisan karbonat Ngimbang dan diuji pada sekitar 2,100 tong sehari atau BOPD (Barrels of Oil per day).
Telaga Hidayah-1 akan dinilai bagi memastikan potensinya. Naib Presiden Eksplorasi Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata, penemuan itu merupakan satu penanda aras penting bagi PSC North Madura II PSC kerana ia membuktikan potensi minyak di dalam pengumpulan karbonat di kawasan tersebut.
“Ini adalah satu perkembangan yang memberangsangkan dan satu bukti yang menunjukkan terdapat potensi penerokaan yang luas di Indonesia.
“Kami berharap dapat mengukuhkan hubungan dan kerjasama kami dengan kerajaan bagi membekalkan tenaga yang bersih, selamat dan terjamin kepada Indonesia,” katanya.
Presiden PC North Madura II, Mohd Nazlee Rasol berkata, pihaknya amat berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh SKK Migas dan kerajaan tempatan Kabupaten Sampang dalam menjayakan penggerudian telaga eksplorasi Hidayah-1, dan penemuan itu merupakan bukti komitmen Petronas untuk terus mengembangkan perniagaan huluannya di negara tersebut.
Petronas juga merupakan pengendali lapangan minyak dan gas Bukit Tua di luar pantai Jawa Timur dan rakan usaha sama dalam enam PSC lain yang terletak di luar pantai dan daratan Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur serta Kalimantan.
BACA LAGI:
- PTTEP umumkan penemuan gas terbaru dari Blok SK417, offshore Sarawak
- PTTEP hasilkan pengeluaran gas pertama dari Block H, offshore Sabah