BERNAMA – Sapura Energy Bhd berjaya memperoleh kontrak serta lanjutan kerja dengan nilai keseluruhan RM1.2 billion yang meliputi segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C), operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta penggerudian di Malaysia dan Thailand
Bagi segmen E&C, kumpulan itu menerusi anak Sapura Offshore Sdn Bhd, memperoleh kontrak daripada PTTEP Sarawak Oil Limited (PTTEP) dan Enquest Petroleum Production Malaysia Ltd (Enquest)
Dalam kenyataan, Sapura Energy berkata skop tugasan PTTEP termasuk pengangkutan dan pemasangan, kejuruteraan, kajian ukur serta kerja-kerja pilihan lain bagi tempoh lapan bulan bermula 2 Februari 2021
Kontrak Enquest pula merangkumi usaha penggantian saluran gas paip sublaut berukuran 10 inci serta alat penaik (riser)
“Kerja-kerja yang dijadual dijalankan selama lima bulan itu dijangka siap menjelang suku keempat 2021”, demikian menurut kenyataan itu
Bagi segmen O&M, anak syarikat iaitu Sapura Fabrication Sdn Bhd telah memperoleh kontrak daripada Enquest, Sarawak Shell Berhad (SSB) dan Sabah Shell Petroleum Company Ltd (SSPC)
Kontrak yang dianugerahkan oleh Enquest merangkumi aspek penyediaan penyelenggaraan,pembinaan dan kerja-kerja ubahsuai yang menjadi sebahagian daripada lanjutan kontrak perkongsian pengeluaran
Anugerah kontrak daripada SSB dan SSPC pula melibatkan penyediaan kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan utama pelbagai projek yang terletak di luar pesisir Sabah dan Sarawak bermula 29 April 2021 hingga Ogos 2023.
“Sepangjang tempoh tersebut, SSB dan SSPC berkemungkinan mengeluarkan arahan kerja bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja sebenar,” katanya
Selain itu Sapura Drilling Asia Sdn Bhd berjaya meraih dua kontrak Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) membabitkan aktiviti penggerudian luar pesisir Malaysia
Kontrak pertama meliputi perkhidmatan pelantar penggerudian sokongan tender selama dua tahun dengan pilihan lanjutan selama dua tahun lagi, bermula 26 April 2021 hingga 25 April 2023.
Bagi kontrak, Sapura Energy terbabit dalam penyediaan dan menyiapkan perkhidmatan pelantar penggerudian untuk enam telaga luar pesisir Malaysia dengan kerja-kerja dijangka bermula pada suku ketiga 2021.
Di Thailand, Sapura Drilling memperoleh kontrak dengan pilihan lanjutan sehingga 12 bulan bagi pelantar penggerudian T-17 oleh PTTEP Energy Development Company Ltd.
“Tempoh kontrak itu selama tiga tahun dan bermula pada 15 Oktober 2021 hingga 15 November 2021.
“Sapura Drilling juga menerima notis pelanjutan kontrak dari PTT Exploration & Production dan PTTEP International Limited” katanya.
Setakat ini Sapura Drilling mempunyai lapan pelantar penggerudian untuk kerja-kerja berkaitan bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 yang turut meningkatkan tahap penggunaan kemudahannya kepada 57 peratus
Sumber: Bernama